Main

Evolusi Rock Leleh (Bahagian 1)

Di kawasan flat tempat tinggal aku, aku perhatikan kebanyakan generasi muda gemar menghabiskan masa mereka dengan bersantai bersama rakan-rakan yang lain. Antara aktiviti-aktiviti dia orang adalah seperti futsal, skateboarding dan “karaoke ala open air”. Mereka ini adalah generasi yang berumur belasan tahun, mungkin juga ada sebahagiannya yang masih bersekolah. Jika kau orang pernah tinggal di kawasan flat, aku yakin kau orang akan faham betapa tidak selesanya untuk terperap di rumah, lebih-lebih lagi kalau mempunyai bilangan ahli keluarga yang agak besar. 
Apa yang ingin aku ceritakan di sini ialah aktiviti “karaoke ala open air” dia orang. Hehe….Pasti kau orang tertanya-tanya adakah ini karaoke seperti di majlis-majlis kenduri kahwin? Jawapannya bukan….!
Biar aku jelaskan secara terperinci aktiviti yang menjadi pilihan topik aku kali ini:

  1. Ianya memerlukan antara 5 hingga 30 orang peserta dan boleh mengambil tempat di kawasan taman, tempat letak kereta atau ruang legar di tingkat bawah flat
  2. Sekurang-kurangnya salah seorang dari peserta dimestikan bermain gitar
  3. Peserta lain dikehendaki menyanyi secara beramai-ramai tanpa mementingkan teknik vokal, pitching, serta harmoni…… LOL
  4. Aktiviti ini lebih afdal dilakukan pada waktu malam…. seelok-eloknya selepas jam 12 tengah malam, untuk mendapatkan natural reverb serta sistem akustik yang baik

Aku pasti kau orang sudah mendapat gambaran mengenai “karaoke ala open air” yang aku maksudkan. Betul tak? Haha……
Sebenarnya aku tidak kisah pun kalau memang sudah minat dia orang dalam bidang muzik. Ada kebaikannya juga. Tetapi, apa yang menghairankan aku ialah playlist dia orang yang menjurus kepada lagu-lagu bergenre leleh. Ya, lagu-lagu rock melayu dengan melodi yang mendayu-dayu seperti yang pernah memenuhi arena muzik tanah air suatu ketika dahulu. Aku berasa seperti “Back to the Future” ke zaman 90-an.
Bagi aku, sepatutnya generasi-generasi muda ini tentu lebih meminati muzik KPOP atau lagu-lagu Inggeris lain yang menjadi kegilaan ramai ketika ini. Paling tidak pun lagu AizatHujan mahupun Najwa Latif. Dengan kemudahan akses muzik di Youtube dan perkongsian MP3 di internet, sudah semestinya mereka lebih terdedah dengan muzik-muzik “advance”. Itulah yang menghairankan aku sebenarnya. 
Jadi, di entri ini, aku akan cuba kupas dan beri pandangan aku terhadap fenomena leleh ini di dalam jiwa masyarakat melayu. 
P.Ramlee Bapa Irama Leleh?OK, kita lihat kembali di zaman Allahyarham Tan Sri P.Ramlee. Pada zaman itu, Malaysia ataupun lebih dikenali sebagai Malaya masih kuat dipengaruhi kesan penjajahan British menyebabkan lagu-lagu yang dicipta lebih berkiblatkan muzik barat. Genre-genre seperti chacha, bossa mahupun jazz ala big band menjadi sumber inspirasi pada waktu itu. Lihat sahaja pada lagu, Bila Larut MalamGetaran Jiwa, mahupun Bossanova. Namun dengarkan melodinya. Ia memang 100% melodi melayu, namun masih tidak keterlaluan lelehnya.
Begitu juga dengan zaman Pop Yeah Yeah. Terdapat perlambakan kugiran-kugiran yang terpengaruh dengan muzik The Beatles pada waktu itu. Semua orang mahu menghasilkan sesuatu yang kedengaran barat. Namun, malang sekali hanya lagu-lagu yang bermelodi leleh sahaja yang kekal melekat di minda peminat-peminat muzik tanah air. Antaranya adalah Tak MengapaOh FatimahSalam MesraSi Baju Hijau serta banyak lagi. Aku pernah merayau-rayau di Youtube tidak lama dahulu dan terjumpa beberapa kugiran Pop Yeah Yeah yang pada aku memang “Wow, dia orang dah buat muzik macam ni la…..”. Tetapi sayangnya tidak ada satu pun dalam senarai lagu evergreen Malaysia. Kalau aku ingin mencari semula di Youtube belum tentu aku dapat menemuinya.
Aku skip zaman Ahmad Nawab, takut kena saman….haha…
Era Kegemilangan RockIni adalah pencetus kepada genre leleh seperti yang kita dengar hari ini. Pada awalnya, kumpulan-kumpulan rock di Malaysia memang memainkan muzik yang keras. Lihat sahaja pada susunan muzik SearchLefthandedWingsmahupun MayRiff gitar yang berat diiringi ketukan drum yang laju serta nyanyian dengan nada yang tinggi telah menjadi satu fenomena luar biasa pada waktu itu. Ramai anak-anak muda mula terpengaruh dan ada yang memasang impian untuk menubuhkan kumpulan rock mereka sendiri. Lihat sahaja filem “Rock” arahan Mamat Khalid. Memang itulah keadaan waktu itu. Kumpulan rock pula tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan.
Fenomena rock pada tahun 80-an memang luar biasa sehinggakan ia menjadi ancaman kepada ibubapa, dan pelbagai gejala negatif waktu itu dikaitkan dengan muzik rock. Shinggakan suatu ketika, RTM pernah melarang penyanyi rock muncul di kaca TV. Waktu itu aku masih di sekolah rendah tetapi masih ingat lagi RTM (di bawah arwah Tok Mat) terpaksa mengalah dengan membenarkan juga artis rock muncul di kaca TV dengan syarat mereka berpakaian kemas.
Namun perlambakan kumpulan rock di tanah air sebenarnya mencetuskan evolusi irama leleh di dalam lagu rock melayu. Seperti menjadi kewajipan atau mungkin juga sebahagian syarat kontrak syarikat rakaman yang memerlukan setiap album mengandungi sekurang-kurangnya satu lagu berentak perlahan. Memang lucu apabila teringatkan imej kumpulan rock 80-an yang ganas, menyanyikan lagu “jiwang karat”…..haha. Waktu itu belum wujud pun istilah leleh
Radio Perosak Jiwa RockDan radio pula hanya memutarkan lagu-lagu berentak perlahan ini yang kebanyakannya dicipta oleh komposer-komposer lain dan bukannya lahir dari jiwa kumpulan rock itu sendiri. Tema lagunya pula lebih kepada cinta yang tidak kesampaian, ataupun kekecewaan bercinta. Sudah semestinya untuk menambahkan kepiluan pendengar, lagu “jiwang karat” ini dinyanyikan dengan penuh mendayu-dayu, namun suara serak-serak basah rock masih dikekalkan lagi.
Ironinya, lagu-lagu sebegini mudah melekat di jiwa pendengar-pendengar Malaysia, dan tanggapan buruk terhadap muzik rock mula terhakis sedikit demi sedikit. Kemuncaknya dapat dilihat pada pertandingan Juara Lagu pada penghujung 80-an dan awal 90-an, apabila hampir kesemua finalis adalah kumpulan rock. Ini seolah-olah memberi lampu hijau kepada para komposer untuk terus menghasilkan karya-karya lagu cinta dengan bertopengkan imej kumpulan rock bagi menambat hati peminat muda.
bersambung……BAHAGIAN 2
Bahagian seterusnya:  Hasil karya Eddie Hamid yang pernah mendominasi industri muzik tanah air serta kedatangan artis-artis berkumpulan dari seberang.
PS: Aku tiada niat merendah-rendahkan lagu rock melayu 90-an, malah aku menghormati mereka yang meminati genre ini (walaupun aku tidak), dan kesemua tulisan di atas adalah bersandarkan kepada pendapat peribadi aku semata-mata (mungkin juga terdapat kesilapan fakta….). Harap maklum.