Main

Evolusi Rock Leleh (Bahagian 2)

8:35 PM

14

Ini adalah sambungan dari BAHAGIAN 1
Pertengahan tahun 90-an menyaksikan banyak lagu berunsur leleh diterbitkan dan menguasai siaran radio berbahasa melayu. Kumpulan-kumpulan seperti SlamUkaysUmbrella, dan Spring merupakan antara pelopor kepada genre ini. Tiada lagi nyanyian serak-serak basah gaya rock penghujung 80-an. Kebanyakan kumpulan ini menampilkan penyanyi yang mempunyai vokal mantap serta berupaya mengalunkan suara dengan lenggok melayu. Memang tidak dapat dinafikan mereka mempunyai kekuatan tersendiri apabila lagu Gerimis Mengundang oleh kumpulan Slam berjaya menembusi pasaran muzik seberang. Lagu ciptaan Saari Amri ini begitu istimewa sehingga ia dirakamkan semula oleh ramai artis Indonesia dengan variasi mereka sendiri. Begitu juga dengan kumpulan Ukays yang juga merupakan anak didik Saari Amri, pernah suatu ketika mendapat jemputan untuk berduet bersama Air Supply.
Berikut adalah bukti kehebatan Saari Amri apabila lagunya yang dicipta pada tahun 90-an masih menjadi kegilaan peminat muzik Indonesia. Saksikan video Youtube nyanyian Armada (kualiti audio dan video kurang memuaskan…harap maaf).

Dalam pada arus muzik perdana dipenuhi oleh irama rock leleh, pendengar-pendengar yang tidak berapa menggemari alunan muzik sebegini mula mencari-cari kelainan. Akibatnya, telah wujud satu komuniti yang dipanggil underground. Dengan kebanyakan kumpulan underground ketika itu menerbitkan album mereka sendiri serta bergerak tanpa sokongan media arus perdana, mereka berjaya menarik segelintir pendengar Malaysia yang dahagakan kelainan. Walaubagaimanapun, kumpulan-kumpulan ini lebih memilih untuk membawakan lagu berbahasa Inggeris serta muzik dan melodi yang lebih berkiblatkan barat seperti punkmetal, dan alternative. Hmm….memang berbeza sekali muzik mereka ketika itu dengan arus perdana.  Namun terdapat juga beberapa label yang cuba mengenengahkan kumpulan-kumpulan underground ini. Antara yang aku ingat ialah Ponycanyon (anak syarikat Fuji TV….dah tak wujud sekarang ni rasanya) dan Positive Tone (syarikat Ahmad Izham Omar).
Kehadiran Eddie Hamid Dalam Industri
Perkembangan muzik leleh di Malaysia diteruskan lagi pada penghujung 90-an dengan kehadiran lagu-lagu ciptaan Eddie Hamid. Kejayaan luar biasa lagu Rindu Serindunya nyanyian kumpulan Spoon seolah-olah membuka jalan kepada kumpulan-kumpulan lain untuk mendominasi arena muzik tanahair. StingSweet ChildSpin dan Scoin adalah antara kumpulan yang membawakan irama leleh ketika itu. Haha…perhatikan nama yang bermula dari huruf “S”….LOL
Pada pendapat aku, industri muzik Malaysia telah mengalami kejatuhan dengan perlambakkan kumpulan-kumpulan “S” ini. Kenapa? Biar aku huraikan ciri-ciri kumpulan-kumpulan ini terlebih dahulu.
  1. Dianggotai oleh 4 hingga 5 orang.
  2. Menampilkan imej kemas. Tiada lagi imej rock.
  3. Penyanyi diwajibkan berwajah “jambu”.
  4. Bentuk lagu mestilah berentak perlahan dengan teknik plucking sama pada keseluruhan lagu tetapi untuk menampakkan “rock” diselitkan juga solo gitar maut.
  5. Lagu-lagu mereka wajib dicipta oleh Eddie Hamid.
Tidak kiralah samada 100 kumpulan sekalipun, sekiranya mereka ingin memasuki arena muzik arus perdana, mereka harus menampilkan 5 ciri-ciri di atas. Industri muzik di Malaysia ketika itu tiada bezanya dengan industri kecil sederhana (IKS) yang memasarkan kerepek pisang. Semua kerepek-kerepek ini dipaketkan dengan timbangan dan bentuk yang sama. Ya….sama juga seperti blog aku yang menggunakan template sedia ada, begitulah kumpulan-kumpulan yang dididik Eddie Hamid ini. Mereka tidak mempunyai ciri-ciri unik dari segi muzik mahupun penampilan. Yang berbeza hanyalah kad pengenalan ahli kumpulannya sahaja….haha.
Aku tidak bermaksud untuk merendah-rendahkan kumpulan-kumpulan ini, malahan aku juga suka lagu seperti Rindu Serindunya. Tetapi bak umpama gula, sedikit gula boleh memaniskan minuman namun terlalu banyak gula boleh memaniskan kencing….haha maksud aku penyakit kencing manis. Ya, jika Eddie Hamid hanya menghadkan kepada 1 atau 2 kumpulan sahaja yang membawa konsep sebegini, aku rasa adalah lebih baik ketika itu. Atau mungkin juga, jika pemuzik-pemuzik ini diberi kebebasan untuk mencorakkan lagu mereka sendiri, sudah pastinya mereka tidak akan kelihatan seperti kerepek pisang keluaran IKS.
Berikut adalah lagu Rindu Serindunya oleh kumpulan Spoon (Alfatihah buat arwah Along….).

Isma Halil Hamzah Mengangkat Irama Rock Sebenar
Akibat segelintir peminat muzik melayu yang sudah mula bosan dengan aliran muzik leleh, maka penghujung tahun 90-an juga menyaksikan kumpulan XPDC mula mengambil tempat di hati peminat-peminat rock sejati. Ini disusuli dengan album Metal 60-an mereka yang mendapat sambutan luar biasa ketika itu. Dengan bantuan siaran radio kendalian DJ Isma Halil Hamzah, arena muzik tanahair kelihatan seolah-olah diberi sinar baharu.
Bercerita tentang Isma Halil Hamzah, aku memang tabik hormat kepada beliau. Gayanya yang tidak terikut-ikut DJ sedia ada, menjadikan beliau salah seorang DJ radio paling berpengaruh di Malaysia. Bayangkan umurnya ketika itu baru menjangkau 30 tahun iaitu lebih muda dari umur aku sekarang, namun beliau berjaya menarik ramai anak muda melayu untuk mendengar rancangannya yang ke udara pada lewat tengah malam. Walaupun bekerja untuk radio kerajaan (RTM), beliau berani memutarkan lagu-lagu rock barat mahupun melayu yang kebiasaannya tidak digemari pihak atasan RTM.
Sedikit sebanyak pemilihan lagu beliau telah mempengaruhi anak-anak muda untuk meminati irama rock semula. Genre metal melalui lagu-lagu 60-an yang diberi nafas baru telah mula masuk ke arena arus perdana dan kesannya dapat dilihat apabila beberapa kumpulan rock sedia ada, berebut-rebut untuk merakamkan lagu Metal 60-an. Sehingga kepada satu tahap di mana terlalu banyak lagu-lagu begini dipasaran. Ya….sekali lagi industri muzik tanahair dilanda wabak kerepek pisang…..haha.
OK, aku berhenti dahulu di sini. Di bahagian seterusnya aku akan bercerita pula tentang kemasukan artis-artis Indonesia ke dalam pasaran muzik Malaysia.
bersambung…..
PS: Aku tiada niat merendah-rendahkan lagu rock melayu 90-an, malah aku menghormati mereka yang meminati genre ini (walaupun aku tidak), dan kesemua tulisan di atas adalah bersandarkan kepada pendapat peribadi aku semata-mata (mungkin juga terdapat kesilapan fakta….). Harap maklum.