Main

Evolusi Rock Leleh (Bahagian 3)

10:52 PM

13

Ini merupakan bahagian akhir untuk siri Evolusi Rock Leleh. Sekiranya kau orang ingin membaca bahagian-bahagian sebelumnya, bolehlah berbuat demikian dengan meng-klik pautan-pautan di bawah.
Evolusi Rock Leleh (Bahagian 1)
Evolusi Rock Leleh (Bahagian 2)
Di bahagian ini aku mulakan dengan kemasukan artis-artis Indonesia ke tanahair. Pada penghujung tahun 90-an, arena muzik Malaysia digemparkan dengan kehadiran kumpulan Gigi yang membuat mini konsert di sebuah kelab di ibu negara. Gigi walaubagaimanapun, bukanlah artis Indonesia pertama yang bertandang ke sini. Memang semenjak dari dahulu lagi negara kita tidak pernah asing dengan artis-artis seberang seperti Ebiet G AdeHetty Koes EndangD’llyod, dan Nike Ardila. Namun apa yang membezakan kehadiran Gigi kali ini ialah mereka datang setelah lama Malaysia terputus hubungan dengan arena muzik Indonesia. Ya, arena muzik Malaysia ketika itu sedang berada di dalam “zon selesa”.
Kehebatan Gigi diakui sendiri oleh artis tanahair seperti Amy Search yang turut berada di mini konsert tersebut. Ianya seolah-olah telah membuka mata ramai penggiat muzik arus perdana yang ketika itu sedang enak diulit mimpi. Ini kerana muzik yang ditampilkan kumpulan ini jauh lebih ke hadapan jika hendak dibandingkan dengan kumpulan-kumpulan rock tanahair yang lebih menjurus ke arah leleh. Permainan gitar yang tidak konvensional serta gabungan feel jazz ke dalam lagu-lagu mereka telah membuktikan pemuzik nusantara juga berkebolehan seperti pemuzik-pemuzik hebat barat.

Terbang merupakan antara lagu kumpulan Gigi yang pernah popular di Malaysia (dengarkan solo gitarnya yang tidak konvensional….)
Dewa19 vs Gigi
Aku tahu, jika ada “otai-otai” yang membaca artikel aku, pasti mereka akan berkata, “kumpulan Dewa19 yang masuk dulu la…..”. Ya, memang Dewa19 pernah datang sebelum itu, namun konsert mereka hanya dihadiri oleh Baladewa sahaja. Bagi aku Gigi lah yang telah menyedarkan ramai pihak.
Kesannya, peminat-peminat Malaysia mula memberi tumpuan kepada industri muzik seberang dan permintaan lagu-lagu Indonesia pun mula meningkat. Sekitar awal tahun 2000-an, kumpulan-kumpulan seperti Padi dan ShielaOn7 telah menjejakkan kaki ke persada muzik tanahair. Muzik mereka yang lebih segar ketika itu telah menjadi kegilaan remaja. Radio-radio melayu pula, mula
bertukar arah dengan memutarkan hampir 90% lagu Indonesia ketika itu. Ini menyebabkan artis-artis lain seperti Melly GoeslawKris DayantiDewaElement dan ramai lagi telah berjaya menambat hati peminat-peminat muzik tempatan.
Perubahan Mendadak Kumpulan Underground
Kumpulan-kumpulan underground yang dahulunya tegas dalam pendirian lagu Inggeris mereka telah mula merakamkan album Bahasa Melayu. Haha….memang lucu apabila teringatkan kisah budak-budak underground ni. Pernah suatu ketika apabila ditanya wartawan mengapa mereka tidak mencipta lagu dalam Bahasa Melayu (ini sebelum kehadiran Gigi…), mereka dengan yakin menjawab yang muzik mereka tidak sesuai langsung dengan melodi melayu…..LOL.
Flop Poppy merupakan yang terawal bertukar bahasa dan mereka pernah dituduh meniru gaya muzik Indonesia…..haha. Sebenarnya pendengar tempatan yang tidak tahu bahawa Flop Poppy telah pun bermain muzik alternative sejak dari pertengahan 90-an lagi. Dan pada waktu itu mungkin ada juga yang tidak tahu bahawa Radhi OAG pernah menjadi penyanyi Flop Poppy (…masa tu OAG lebih top dari Flop Poppy…).
Ini kemudian disusuli oleh kumpulan-kumpulan lain seperti OAGACAB (…haha…), Nitrus dan ramai lagi. Fenomena “kumpulan underground bertukar melayu” telah menyebabkan banyak kumpulan baru mula ditubuhkan dan kebanyakan mereka bergerak ala underground atau secara independent maka terhasillah istilah “indie” seperti yang kita ketahui hari ini.
Dalam pada kegemilangan muzik Indonesia dan kumpulan indie, kumpulan-kumpulan rock leleh telah mula dipandang sepi. Pernah suatu ketika, lagu yang bergenre leleh dikatakan sebagai lagu kampung oleh sesetengah pihak. Aku masih ingat kenyataan Eddie Hamid yang berbunyi lebih kurang begini, “Walau sejauh mana atau semaju mana pun muzik yang kita dengar, satu hari nanti orang melayu akan tetap ‘pulang’ ke lagu kampung semula……”. Kenyataan ini memang kedengaran “lame” pada awalnya. Aku pun ketawa apabila terbacanya di surat khabar. Tetapi cuba kau orang lihat muzik Indonesia hari ini.
Kemunculan Pop Melayu
Memang mengharaikan apabila Indonesia yang terkenal dengan sikap anti Malaysia menggunakan istilah “Pop Melayu”dalam arena muzik arus perdananya. Kumpulan-kumpulan baru yang terdiri dari golongan muda telah berlumba-lumba menghasilkan karya Pop Melayu masing-masing. Ia seolah-olah menjadi kegilaan dewasa ini. Lihat sahaja video Youtube dari Nirwana Band di bawah. Dengarkan format lagunya yang mirip lagu rock leleh 90-an (lagu tema drama TV3….haha….).
Kesimpulan
Di Bahagian 1, aku ada nyatakan kehairanan aku terhadap generasi muda yang lebih cenderung dengan irama leleh. Tetapi aku tidak boleh salahkan mereka apabila di Indonesia sekalipun irama leleh mendapat tumpuan. Pada awalnya memang aku beranggapan bahawa budak-budak ini ketinggalan zaman, hakikatnya aku yang tidak beredar dengan zaman.
Oleh itu kesimpulan yang boleh aku buat ialah:
1. Ada sesuatu dalam jiwa melayu yang menyebabkan kebanyakan orang melayu lebih selesa dengan irama-irama lelehberbanding genre-genre lain. Kebanyakan generasi muda mungkin ber-Gangnam Style, atau ber-Bruno Mars, tetapi apabila bersendirian mereka akan curi-curi dengar lagu leleh……haha. Tidak kira seberapa banyak pun kita terpengaruh dengan muzik barat atau timur, akhirnya orang melayu akan tetap memilih genre leleh sebagai sesuatu yang dekat dengan hati mereka (betul lah kata Eddie Hamid….).
2. Mungkin sesetengah pihak beranggapan bahawa muzik itu satu kitaran, iaitu genre lama akan menjadi trend semula. Bagi aku kenyataan ini kurang tepat apabila dikaitkan dengan genre leleh. Hakikatnya, orang melayu sendiri tidak dapat keluar dari kotaknya. Ya, memang mereka cuba keluar tetapi seakan-akan terdapat kuasa tarikan graviti kuat yang kerap kali menggagalkan mereka. Muzik Indonesia pernah mencuba tetapi kini telah terbukti gagal. Di Malaysia pula irama leleh terus berada di pasaran walaupun dengan adanya kumpulan-kumpulan indiehip hop atau KPOP. Artis-artis seperti JinbaraKristalSalem serta ramai lagi masih kekal mempertaruhkan irama sebegini dalam karya mereka. Dari sudut positif, hal ini membuktikan bahawa orang melayu itu cekal jati dirinya. Namun dari sudut negatif, kita seolah-olah gemar berada di takuk yang lama atau asyik di dalam “zon selesa”, menyebabkan orang melayu itu sendiri susah untuk menerima perubahan (bab ini terkena dekat aku juga…..hehehe).
3. Tidak salahnya jika penggiat seni tanahair ingin terus memperjuangkan irama leleh. Cuma aku harapkan tiada lagi sindrom kerepek pisang IKS dan artis-artis perlu diberi kebebasan dalam berkarya. Pendengar-pendengar pula harus lebih demand. Cuba cari keseronakan mendengar dan menghayati sesuatu lagu itu, bukan hanya mendengar kerana sesebuah lagu itu popular atau NGETOP. Kita tidak boleh sewenang-wenangnya menelan apa sahaja yang disuapkan oleh Trend-Maker di Malaysia ni. Jika tidak, syarikat-syarikat rakaman akan mengambil jalan mudah dengan mencipta satu template untuk digunapakai semua artisnya.
Dengan ini berakhirlah sudah luahan perasaan aku terhadap industri muzik tanahair. Aku sudahi dengan kata-kata:
…..Majulah Muzik Untuk Negara…..
Tamat