MainTutorial

Anda bosan? Jom Baca Komen Di Youtube!! 10:55 PM Hatimi Tahirruddin

Percayakah anda dengan hanya membaca komen-komen di Youtube, anda boleh mengatasi masalah kebosanan? Itulah yang aku alami selalunya apabila berkunjung ke sana. Kadang-kadang rasa lebih lucu membaca komen-komen di sana berbanding dengan menonton rancangan Maharaja Lawak…
Memandangkan aku tengah tiada idea untuk menulis entri, semalam aku sengaja singgah ke laman Youtube dengan harapan ada lah modalnya nanti…haha. Mujurlah aku ternampak video “highlight perlawanan Harimau Malaya vs Barcelona” yang berlangsung tempoh hari…

Anda Bosan? Jom Baca Komen Di Youtube!!

Melihatkan komen-komen di situ, aku seperti mengalami dejavu. Sama sahaja seperti mana-mana video melibatkan perlawanan Harimau Malaya, ruangan komen di video berkenaan penuh dengan kata-kata cacian dan makian antara warga kita dengan warga seberang
Haha…itulah yang melucukan. Videonya berkenaan Harimau Malaya lawan Barcelona, tetapi komentarnya seolah-olah pasukan bolasepak Indonesia yang lawan Malaysia… Yang tidak sedapnya, nama-nama haiwan najis berat sahaja yang ditulis. Si Indonesia mencaci Si Malaysia, begitu jugalah sebaliknya… Habis semua cerita melibatkan dua negara terkeluar dan terungkit. Sampaikan jerebu pun termasuk sekali.
Apabila aku lihat komen-komen awal, aku dapati hanya satu komentar sahaja yang menjadi pencetusnya. Bermula dengan warga seberang yang tiba-tiba mengeluarkan kata-kata kesat, ia disusuli dengan balasan dari warga kita yang tidak mahu kalah juga kesatnya. Kemudian apa lagi? Merebak dan melaratlah caci maki tanpa berkesudahan…LOL
Tidak tahulah samada mereka yang menulis komen-komen tersebut adalah remaja bawah umur ataupun orang dewasa yang berakal, tetapi sikap-sikap seperti mencarut, memaki hamun ataupun mencaci, seolah-olah sudah menjadi sebati dengan pengguna laman sosial ketika ini. Di manakah hilangnya kelembutan dan kesopanan rumpun Melayu?    Tetapi jika diamati, mana-mana video di laman Youtube pun sama sahaja. Tidak kiralah tentang apa, pasti akan ada golongan-golongan berikut:
Golongan IkhlasBiasanya mereka yang termasuk dalam “golongan ikhlas” meninggalkan komen yang benar dan jujur sahaja. Mungkin sedikit kasar dan menyentuh perasaan, tetapi apa yang diperkatakan itu ada betulnya dan boleh diambil iktibar jika dipandang secara positif.
Golongan Kurang Kasih Sayang (Troll)Golongan yang lebih popular dengan gelaran “troll” ini biasanya berada dalam keadaan bosan serta memerlukan perhatian. Oleh itu mereka tidak akan meninggalkan komen yang biasa-biasa. Maklumlah kalau biasa-biasa siapa yang mahu layan…haha. 
Disebabkan itu, mereka selitkan sekali dalam komen tersebut, kata-kata kesat dengan harapan ada yang tersentuh lantas membalas komen mereka… Selalunya isu-isu yang berkaitan kaum, negara atau agama akan dimainkan dalam situasi ini…
Golongan Mangsa TrollMereka adalah pejuang yang cuba menyangkal segala dakwaan tidak berasas “golongan kurang kasih sayang”. Tetapi tanpa disedari, mereka pada hakikatnya sudah termakan umpan. Akibatnya, komen-komen berunsur troll akan berterusan dan “golongan kurang kasih sayang” telah mendapat perhatian yang mereka mahukan…
Golongan PencemburuPasti anda biasa lihat komen-komen yang berunsurkan iri hati dan hasad dengki seperti di bawah: 

Contoh 1
“alah baru seminggu jer pun…zaman akak dulu takde sampai nak buat video camni…” 

Contoh 2
“aku rasa si polan si polan lebih hebat lagi berbanding dia ni…suara tak boleh blahh…”

Contoh 3
“haishh entah apa-apa lah lagu zaman sekarang ni…tak boleh lawan masa zaman rock kapak dulu…”

Tiga contoh di atas adalah komentar tipikal yang sering dilontarkan “golongan pencemburu”. Tetapi kadang kala ada juga komen-komen yang kelihatan seperti ini datangnya daripada “golongan ikhlas”. Ikhlas atau tidak, tuan empunya badan sahaja yang tahu…huhu.
Golongan Polis Ejaan / TatabahasaMungkin mereka yang berada di dalam golongan ini adalah bekas pengawas di sekolah. Kebiasaannya, mereka mudah dijumpai di ruangan-ruangan komen berbahasa Inggeris. Kalau bahasa lain tidak tahu lah pula, tetapi agak jarang dilihat “Polis Ejaan / Tatabahasa” untuk bahasa Melayu…(hihi sebab itulah ejaan bahasa Melayu banyak yang hancur di laman sosial agaknya…) 
Jika anda mahu meninggalkan komen, sila semak segala ejaan dan tatabahasa terlebih dahulu bagi mengelak dari dikenakan tindakan disiplin nanti…LOL
Golongan Gila LIKEAku tidak pasti mengapa wujudnya golongan ini. Hendak katakan mahu buat promosi tertentu tidak juga. Biasanya mereka akan tulis komen lebih kurang seperti di bawah:

“Jika anda masih mendengar lagu ini pada tahun 2013 sila LIKE/Thumbs Up komen ini…”

Tidak tahulah apa faedah yang mereka dapat jika ramai yang LIKE sekalipun. Mungkin komen mereka sahaja yang sentiasa berada di atas. Selain daripada itu, jika channel mereka kosong dan tiada apa-apa pautan ditinggalkan, perbuatan seperti itu adalah sia-sia menurut pendapat aku…
Golongan UsahawanDalam banyak-banyak golongan yang aku catatkan di atas, “golongan usahawan” adalah yang paling “hati kering” sekali. Ibarat penjual aiskrim ketika cuaca panas terik, mereka mempunyai matlamat yang jelas tanpa perlu menghiraukan suasana dan keadaan sekeliling. Lantaklah jika semua orang hendak berantakan atau apa sekalipun, yang penting mesej pemasaran mereka dapat diselitkan di ruangan komen…haha.
Jadi jika anda sedang berasa bosan atau tidak tahu mahu buat apa, silakanlah berkunjung ke laman Youtube. Tetapi jangan sekadar tonton videonya sahaja, baca juga komen-komen yang tercatat di situ. Lebih “panas” sesebuah video, lebih mudah untuk anda menjumpai golongan-golongan seperti di atas…