Main

Kembara (Slipstream) | Projek Hari Malaysia oleh Pete Teo

“Kembara” ialah sebuah lagu yang dicipta khas bersempena sambutan Hari Malaysia ke-50 baru-baru ini. Cuma malangnya, ia tidak mendapat tempat di ruang-ruang media arus perdana. Aku pun hanya tahu dari laman Youtube sahaja, itu pun dua tiga hari selepas Hari Malaysia!
Lagu ini merupakan salah satu elemen yang terdapat di dalam projek yang diberi nama “Hari Malaysia”, hasil cetusan idea Pete Teo. Selain itu, ia juga turut menampilkan sebuah klip video suntingan digital menarik yang menggabungkan imej arkib dan modern.
Menurut apa yang tercatat di laman sesawang rasmi projek ini, Pete Teo mahu menyuntik kembali semangat perpaduan antara rakyat Malaysia yang dirasakan sudah mula menampakkan keretakan dan perpecahan antara satu sama lain…
Maka terhasil lah sebuah lagu berentak perlahan yang diberi judul “Kembara” untuk versi bahasa Melayu, manakala “Slipstream” adalah judul versi Inggerisnya. Ya, ada dua versi! Sama juga seperti lagu beliau, “Pergi” yang pernah memenangi Anugerah Juara Lagu satu masa dahulu…

Lagu Pete Teo kali ini menggunakan khidmat dua penyanyi wanita, Asmidar dan Melina William (penyanyi kumpulan rock indie Tempered Mental), masing-masing bagi versi Melayu dan Inggeris. Jika didengari, pemilihan vokal wanita adalah sangat tepat untuk kedua-dua versi lagu ini. Dengan susunan muzik yang minima, suara Asmidar dan Melina mudah menarik perhatian pendengar, sekaligus dapat menyampaikan mesej yang terkandung di dalam liriknya.
Tetapi, sekadar mendengar lagu ini sahaja belum mencukupi. Anda juga haruslah menonton klip videonya… Ini kerana ia menggabungkan imej-imej semasa era pengisytiharan kemerdekaan dan penubuhan Malaysia bersama imej rakaman baru pada zaman ini. Jangan terkejut jika anda ternampak kelibat Lim Kit SiangDavid ArumugamMichelle Yeoh dan ramai lagi personaliti mendengar ucapan dari Almarhum Tunku Abdul Rahman pada tahun 1957…hehehe.